Sepakat bangunkan sukan negara

Hannah (tiga, kiri) menyaksikan penyerahan replika cek Majlis Pelancaran Kejohanan YSDTS di Velodrom Nasional pada Jumaat. - Foto Bernama
Hannah (tiga, kiri) menyaksikan penyerahan replika cek Majlis Pelancaran Kejohanan YSDTS di Velodrom Nasional pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa agar semua kementerian berganding bahu dalam membangunkan sukan negara.

Hannah berkata, beliau juga mahu melihat lebih banyak lagi syarikat korporat turut sama membantu kerana peranan Kementerian Belia dan Sukan sahaja tidak mencukupi dalam merancakkan pembangunan sukan tanah air.

"Kementerian masing-masing tidak boleh gerak sendiri dan perlu wujudkan lebih banyak koordinasi antara kementerian lain.

"Seperti contoh, anda mesti berbincang dengan Kementerian Kewangan dan membawa semua rakan kongsi bersama jika mengenai pelepasan cukai, jika mengenai pendidikan anda perlu babitkan Kementerian Pengajian Tinggi juga dan bukan hanya Kementerian Pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pelancaran kejohanan Yayasan Sime Darby Track Series (YSDTS) di Velodrom Nasional di Nilai pada Jumaat.

Pada masa sama, Hannah menyambut baik inisiatif Yayasan Sime Darby yang bekerjasama dengan Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) menjayakan YSDTS yang menyediakan platform untuk meneroka bakat baharu sukan berbasikal trek negara.

Beliau juga mahu melihat lebih banyak lagi kejohanan sukan tempatan membuka peluang kepada golongan wanita bertanding bagi mereka mempamerkan bakat dimiliki.

"Sebagai menteri wanita, ini (penglibatan lebih ramai wanita) adalah satu daripada aspek yang saya akan perhati dan teliti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan bersama atlet, pihak berkepentingan dan persatuan sukan dalam satu mesyuarat 'townhall' minggu depan.

YSDTS merupakan program selama tiga tahun yang bertujuan menarik minat rakyat Malaysia menceburi sukan basikal selain menggalakkan penubuhan pasukan profesional basikal trek baharu sebagai satu daripada saluran pencarian bakat muda untuk skuad negara.

Sebanyak 52 perlumbaan bagi kategori elit dan junior Bawah-15 tahun (B-15), B-17 dan B-19 dijangka diadakan dalam tempoh tersebut. - Bernama