Tun M harap Proton majukan pembuatan kereta elektrik

Dr Mahathir ketika diperkenalkan dengan kenderaan eletrik dikeluarkan Geely, Polestar 2 pada Jumaat.
Dr Mahathir ketika diperkenalkan dengan kenderaan eletrik dikeluarkan Geely, Polestar 2 pada Jumaat.
A
A
A

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap agar syarikat kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) dapat memajukan projek pembuatan kereta elektrik dan seterusnya menjadi pengeluar kenderaan jenis berkenaan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau diperkenalkan dengan sebuah kenderaan elektrik dibangunkan rakan usaha sama Proton iaitu Zhejiang Geely Holdings Group Geely (Geely).

Mahathir yang juga bekas Pengerusi Proton berkata, kenderaan jenis tersebut didapati bakal menjadi pilihan masyarakat kerana keupayaannya untuk mengurangkan pencemaran.

“Namun kita perlu ingat walaupun kereta tidak cemarkan udara, bekalan elektrik yang datang dari stesen jana kuasa juga mencemarkan udara. Kereta elektrik belum sampai lagi ke tahap bebas pencemaran udara.

“Akhirnya mungkin kita terpaksa guna kereta hidrogen, itupun terdapat juga masalah lain yang perlu diuji dan diselesaikan. Sementara itu, untuk bersihkan iklim dalam bandar, kereta elektrik masih menjadi pilihan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Dr Mahathir menambah, kerajaan di kebanyakan negara juga kini memberikan insentif kepada pembeli kereta elektrik.

Mengulas mengenai kereta elektrik dibangunkan oleh Geely, iaitu Polestar 2, bekas ahli Parlimen Langkawi itu berpandangan ia memiliki reka bentuk amat canggih dengan tempat penyimpanan lebih besar ekoran memandangkan ia tidak perlu menyediakan ruang bagi menyimpan enjin.

“Ciri reka bentuk dalaman juga kemas dan futuristik, di mana segala kawalan dan tetapan boleh dibuat dengan sentuhan ’tablet’. Sudah tidak ada lagi suis atau tombol di dashboard seperti kereta biasa.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap pihak Proton dapat majukan projek sebegini supaya satu masa nanti Proton juga dapat keluarkan kereta elektrik tersendiri,” ujarnya.

Dr Mahathir berkata, beliau juga difahamkan difahamkan ‘Polestar 2 boleh mencapai jarak perjalanan sehingga 400 kilometer (KM) dengan sekali cas.

“Sekali cas mencukupi untuk guna kereta ini seperti biasa. Bagi cas semula pula hanya perlu kurang dari dua jam untuk dapat 100 peratus bekalan penuh. Jika cas gunakan kuasa elektrik di rumah, ianya mengambil masa selama kurang lebih 7 jam.

“Tetapi sekarang ini tidak susah kerana sudah terdapat lebih 1,000 stesen di seluruh negara, tidak timbul masalah untuk mengecas kenderaan di mana sahaja,” katanya.