Tiga nelayan Thailand ditahan seludup diesel 10,000 liter

Dua kotak dalam bot berkenaan yang telah diubah suai menjadi tong minyak tambahan.
Dua kotak dalam bot berkenaan yang telah diubah suai menjadi tong minyak tambahan.
A
A
A

LANGKAWI - Sebuah bot pukat tunda kelas C bersama tiga lelaki warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis selepas dipercayai cuba menyeludup 10,000 liter minyak diesel di kedudukan 5.0 batu nautika barat Tanjung Chincin pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot nelayan terbabit ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman kira-kira jam 10.40 malam di sekitar perairan Langkawi.

Menurut beliau, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang asing yang dibuat di bawah rumah bot yang ditutupi dengan kayu papan lapis.

"Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua kotak yang telah diubahsuai menjadi tong minyak tambahan dan mengesyaki bot nelayan ini terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi.

"Minyak tambahan yang dibawa dianggarkan sebanyak 10,000 liter dengan nilai hampir RM21,500," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Romli berkata, ketiga-tiga lelaki warga Thailand berusia lingkungan 22 hingga 59 tahun itu seterusnya ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961 iaitu memilik barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengingatkan pengusaha bot nelayan tempatan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

Romli berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

"Sebarang aduan dan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-9662750," katanya.