Lelaki dipenjara 18 bulan kerana menipu, mencuri

Maniarasan dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan menipu dan mencuri.
Maniarasan dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan menipu dan mencuri.
A
A
A

TAIPING - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat selepas disabitkan kesalahan menipu dengan menyamar sebagai peguam, Ogos lalu.

Majistret, Nur Atiqah Sapari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, P Maniarasan, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu MS Chandran, 31, dengan memperdayanya bahawa dia seorang peguam bertauliah yang menjanjikan khidmat perundangan yang tidak wujud hingga mendorong wang berjumlah RM2,234 diberikan secara pindahan ke akaun bank.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah menipu individu sama dengan mendorongnya memberikan wang sebanyak RM882 secara tunai.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh sekitar jam 1.51 petang pada 12 Ogos dan jam 5 petang, Ogos di sebuah hotel di sini.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta penjara 18 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

Majistret Nur Atiqah Sapari bagaimanapun memerintahkan hukuman tersebut dijalankan serentak bermula Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding sama, lelaki itu turut mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dua utas rantai milik dua wanita dalam bangunan yang dijadikan tempat kediaman di Jalan Azizul Rahman di sini antara jam 4 petang pada 2 Mei hingga 3 pagi, 5 Mei lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dijatuhi hukuman penjara satu tahun bermula dari tarikh lelaki itu ditangkap pada 23 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala Maniarasan diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), T Selva.