Perjawatan baharu dalam penstrukturan semula JIM

Saifuddin Nasution (empat dari kiri) ketika mengadakan lawatan kerja di Jabatan Imigresen Malaysia hari ini. Foto Bernama
Saifuddin Nasution (empat dari kiri) ketika mengadakan lawatan kerja di Jabatan Imigresen Malaysia hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen (JIM) akan melaksanakan penstrukturan semula dalam kadar segera dengan mewujudkan perjawatan baharu yang tidak akan memberikan implikasi kewangan kepada kerajaan, sebagai antara langkah memperkasa keupayaan sumber manusia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan berkaitannya sedang dilakukan dan pihaknya telah mengenal pasti beberapa syor yang akan memberi laluan kerjaya yang lebih baik kepada anggota imigresen yang sedang berkhidmat.

Bercakap pada sidang media selepas taklimat pengoperasian JIM di sini hari ini, Saifuddin Nasution berkata, susulan itu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam berhubung perkara berkenaan.

"(Isunya) sebahagian daripada pasukan sokongan ini mereka mempunyai kelayakan tinggi tetapi jawatan yang disandang adalah rendah sedangkan mereka berupaya untuk mengisi perjawatan namun pengisian terhad,” katanya.

JIM mempunyai kekuatan keanggotaan seramai 14,142 orang dan daripada jumlah itu, 97 peratus adalah daripada kategori kumpulan sokongan, walaupun ada dalam kalangan mereka mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.

Dalam perkembangan lain mengenai kawalan sempadan negara, beliau berkata, hal itu antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwan semalam di Seri Perdana di sini.

Beliau berkata, Malaysia dan Thailand komited untuk mempertingkatkan kawalan sempadan selain bersetuju untuk mengadakan langkah susulan melibatkan pasukan keselamatan negara dan negara jiran.

"Ia bukan hanya khusus kepada insiden pengeboman sama ada di Selatan Thailand mahupun di Bandung (Indonesia) tetapi ini komitmen berterusan kerana kedua-dua negara mempunyai hubungan yang sangat akrab (dengan Malaysia),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menasihati rakyat Malaysia yang berkunjung ke luar negara agar peka dengan perkembangan semasa khususnya mengenai destinasi yang dikunjungi selain merancang perjalanan mereka dengan menjauhi lokasi yang dianggap boleh memberi ancaman. - Bernama