Kontena bawa e-waste diarah dihantar pulang ke AS

Pegawai JAS Pulau Pinang memeriksa kontena yang ditahan.
Pegawai JAS Pulau Pinang memeriksa kontena yang ditahan.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah kontena dari Amerika Syarikat (AS) yang membawa 38 palet komponen elektrik terbuang (e-waste) diarahkan supaya dihantar pulang ke negara asal kerana disyaki membuat pengisytiharan tidak benar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kontena itu diarahkan dipulangkan ke negara asal selepas pihaknya bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, SIRIM QAS International Berhad Pulau Pinang dan Pegawai Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena tersebut di NBCT, Butterworth.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, kontena bersaiz 12 meter itu disyaki membawa buangan elektrik dan elektronik dari Amerika Syarikat.

"Kontena ini asalnya ditahan selepas disyaki membuat pengisytiharan (manifest) tidak benar yang mana ia diikrar sebagai 'aluminium aloy'. Pengimportan haram e-waste dari luar negara adalah menyalahi undang-undang dan konvensyen antarabangsa (Konvensyen Basel).

"Selepas pemeriksaan dibuat, didapati ada 38 palet di dalam kontena itu yang mengandungi buangan sekerap daripada printed circuit board (PCB), internal hard disk drive (CPU) dan lain-lain komponen elektronik yang dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Sharifah Zakiah, satu notis arahan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan kepada pengimport untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal.

"Sekiranya gagal, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 34B dengan hukuman denda maksima RM500,000 dan mandatori penjara maksima lima tahun. Pengimport yang beralamat di Kelang, Selangor ini juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31 dan 37 bagi kesalahan gagal mematuhi notis dan mengingkari arahan yang dikeluarkan.

"Persampelan bahan bukti turut dijalankan oleh JAS Pulau Pinang. Pelupusan serta pemprosesan secara haram boleh memberikan implikasi negatif kepada alam sekitar dan kesihatan, terutama apabila majoritinya mungkin dihantar ke premis-premis tidak berlesen untuk menjalankan pemprosesan secara haram.

Artikel Berkaitan:

"Lebih membimbangkan sekiranya e-waste ini dilupus secara dibakar atau ditanam. Pemprosesan secara haram tanpa alat kawalan boleh menyebabkan pelepasan bahan kimia berbahaya termasuk logam-logam berat yang mencemar tanah, air dan udara," katanya.

Jelas beliau lagi, e-waste yang dihasilkan di Malaysia hanya akan dihantar dan diproses di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja.

"Buangan elektrik dan elektronik ini juga mempunyai bahan-bahan yang boleh dikitar semula, cuma bahan-bahan yang tidak boleh dikitar semula perlu dilupuskan dengan kaedah yang dibenarkan dan selamat," katanya.