Ahli Parlimen Langkawi perjelas status kesihatan

Mohd Suhaimi kelihatan ceria dan sihat ketika menggunakan perkhidmatan Roro ke Kuala Perlis untuk turut serta berkempen bersama pemimpin PN lain di Padang Serai.
Mohd Suhaimi kelihatan ceria dan sihat ketika menggunakan perkhidmatan Roro ke Kuala Perlis untuk turut serta berkempen bersama pemimpin PN lain di Padang Serai.
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah memperjelaskan status kesihatan beliau setelah dipersoal segelintir pihak yang mendakwa dirinya terlantar sakit.

Beliau mengakui menghidap penyakit buah pinggang, namun menegaskan mampu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, tahap kesihatan beliau tidak merosot, sebaliknya semakin baik dan dalam keadaan sihat.

“Sudah dua bulan saya tidak jalani rawatan dialisis kerana telah lakukan pemindahan buah pinggang di luar negara, sebulan sebelum PRU15 (19 November).

“Balik sahaja dari sana, saya teruskan kempen PRU15 dan tiada masalah sampingan walaupun aktiviti saya agak padat ketika itu.

"Saya cuma rehat tiga hari selepas pembedahan dan turun padang selepas penamaan calon, walaupun rasa pedih namun atas amanah diberikan, saya tidak ambil lewa,” katanya di sini pada Khamis.

Mohd Suhaimi yang juga calon Perikatan Nasional berjaya mengetepikan penyandang Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 13,518 undi, selain menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Armishah Siraj dari Barisan Nasional, Zabidi Yahya (Pakatan Harapan) dan Abd Kadir Sainudin (Bebas).

Mengulas lanjut, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah itu menjelaskan, selesai sahaja PRU15, doktor menasihatkan beliau agar berehat di hospital di ibu negara untuk pemantauan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berada di hospital selama dua hari untuk pulihkan sistem tubuh yang mungkin belum pulih sepenuhnya selepas pembedahan kerana saya tidak cukup rehat. Selepas itu, saya pulang ke Langkawi dan teruskan tugas sebagai wakil rakyat,” katanya lagi.

Mohd Suhaimi yang menginjak usia 64 tahun turut memaklumkan akan berpindah ke pulau legenda itu bagi membolehkan dirinya menawarkan khidmat sepenuh masa dan bukan digelar wakil rakyat ‘part time’.

“Saya mahu berkhidmat sepenuh masa dan bercadang bina rumah di Langkawi sebab saya akan menetap di sini sehingga habis penggal (lima tahun). Saya sanggup pindah dari Jerai sebab ini amanah yang harus saya lakukan atas rasa tanggungjawab,” katanya.

Menurut Ketua Bahagian Bersatu Jerai itu, penerimaan penduduk Langkawi sangat positif selepas beliau diberikan mandat dan percaya penduduk mahukan seorang wakil rakyat yang sentiasa berada di pulau tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut memberitahu sedang mengatur program bagi meninjau masalah rakyat turut mengadakan kenduri kesyukuran kemenangan di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Pengundi menolak Barisan Nasional (BN) dan Tun Mahathir (Pejuang) dan mahu wakil rakyat yang baharu.

"Saya sedia galas amanah dan akan lakukan apa yang mampu walaupun kita (PN) merupakan pembangkang di peringkat pusat,” katanya.