Gvardiol benteng ampuh Croatia

Gvardiol (kanan) menjadi sandaran Croatia untuk menyekat kemaraan rangkaian serangan Brazil pada aksi suku akhir Piala Dunia Qatar pada Jumaat. - Foto EPA
Gvardiol (kanan) menjadi sandaran Croatia untuk menyekat kemaraan rangkaian serangan Brazil pada aksi suku akhir Piala Dunia Qatar pada Jumaat. - Foto EPA
A
A
A

PIALA Dunia Qatar 2022 menjadi medan buat pemain muda Croatia, Josko Gvardiol untuk membuktikan keampuhannya di benteng pertahanan menjelang suku akhir menentang Brazil pada Jumaat.

Pertahanan tengah berusia 20 tahun itu merupakan karakter penting skuad bimbingan Zlatko Dalic melangkah ke kelompok lapan terbaik.

Gvardiol bakal berdepan tugas sukar untuk menyekat jentera serangan Brazil pada aksi lapan terakhir di Stadium Education City.

Dalic memberi peluang Gvardiol beraksi di Piala Dunia ketika pemain veteran Domagoj Vida yang memiliki 100 kaps menjadi penonton di bangku simpanan.

"Josko (Gvardiol) sangat muda, namun kami yakin dan percaya kepadanya. Dia beraksi sangat baik bersama RB Leipzig," katanya.

Dia mempamerkan aksi cemerlang ketika Croatia seri tanpa jaringan menentang Belgium dan mengatasi Jepun menerusi penentuan penalti pada peringkat 16 terakhir.

Gvardiol dikaitkan dengan beberapa kelab besar Eropah termasuk Real Madrid dan Manchester United susulan prestasi cemerlang bersama Leipzig musim lalu.

Dia mempunyai reputasi sebagai pertahanan lengkap dalam saingan peringkat tertinggi walaupun memakai topeng muka selepas patah hidung bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Namun tahun lalu, Gvardiol dikritik selepas Croatia tewas kepada Sepanyol 3-5 dalam masa tambahan di Euro 2020 tetapi tetap mendapat kepercayaan Dalic.

"Saya percaya anda tak boleh menjadi pemain bagus tanpa sokongan jurulatih. Dia membuat kesilapan dan itu biasa tapi dia akan bertambah matang," ujar Dalic.

Andai Gvardiol mampu menyekat serangan Neymar, Richarlison, Raphinha dan Vinicius Junior pada suku akhir masa Gvardiol mampu bersinar bersama Croatia selepas Luka Modric dan pemain seangkatan dengannya bersara.