Wanita disyaki terlibat kes tipu, suami pula jadi mangsa tembak

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Gara-gara isteri didakwa terlibat dalam penipuan skim pelaburan, seorang lelaki cedera ditembak di hadapan rumahnya di Jalan Limau Kasturi, Taman Wangi di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian dilaporkan seorang wanita kira-kira jam 8.55 pagi menerusi panggilan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Menurutnya, wanita berkenaan membuat laporan berkaitan suaminya telah ditembak oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumah mereka.

"Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa merupakan lelaki warga tempatan berumur 46 tahun dan bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang.

"Mangsa mengalami kesan kecederaan di bahagian lengan kanan dan bahagian leher telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan pemeriksaan x-ray mendapati satu biji kelongsong disyaki peluru di dalam lengan kanan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki disyaki warga tempatan.

"Suspek menaiki sebuah motosikal warna gelap dan memakai topi keledar bervisor gelap semasa kejadian tersebut.

"Siasatan mendapati suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dengan mengunakan dua pucuk pistol yang berlainan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemeriksaan Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menemukan barang termasuk dua objek logam disyaki kelongsong peluru.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian disyaki isteri mangsa telah menipu wang skim pelaburan menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati.

"Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Ujar Hoong Fong, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali individu tersebut diminta segera menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hazri Raziff di talian 0183204914 atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222," katanya.