Lelaki cedera ringan kedai akuarium terbakar

Sebuah rumah di Jalan Abdul Kadir, Tanah Liat, Bukit Mertajam musnah dalam kebakaran pada jam kira-kira 4 petang, Jumaat.
Sebuah rumah di Jalan Abdul Kadir, Tanah Liat, Bukit Mertajam musnah dalam kebakaran pada jam kira-kira 4 petang, Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki cedera ringan selepas sebuah kedai akuarium di Jalan Seri Maju, Kampung Baru Bukit Mertajam terbakar kira-kira jam 1 petang, Jumaat.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, PBK II Arman Ahmad Termizi berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu melecur di beberapa bahagian badan namun tidak serius.

Menurutnya, mangsa dipercayai pekerja kedai itu telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 1.23 petang dan terus ke lokasi kejadian. Kita turut dibantu anggota dari BBP Bandar Perda.

"Kebakaran melibatkan sebuah kedai akuarium (kelas A) berkeluasan 8 X 20 meter persegi dengan anggaran peratusan kemusnahan keseluruhan kebakaran adalah sebanyak 15 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 1.30 petang dan berjaya dipadam kira-kira setengah jam kemudian.

"Kerja-kerja 'overhaul' telah dibuat dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.10 petang.

"Jumlah kerugian dan punca kejadian sedang disiasat," katanya.

Dalam kejadian berasingan, sebuah rumah di Jalan Abdul Kadir, Tanah Liat, Bukit Mertajam musnah dalam kebakaran pada jam kira-kira 4 petang, Jumaat.

Pegawai Operasi BBP Bandar Perda, PBK I Zulkifli Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.50 petang.

"Dengan bantuan anggota daripada BBP Penanti, kita ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan. Kebakaran melibatkan sebuah rumah (kelas B) dengan anggaran keluasan 30 X 45 kaki persegi.

"Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 80 peratus (ketika proses pemadaman). Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.15 petang. Tiada mangsa terlibat," katanya.

Tambahnya, operasi pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela berhampiran.

"Kita masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian mangsa," katanya.