Beri dana bukan penyelesaian, hapuskan kartel padi: Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Peruntukan RM10 juta untuk tahun ini dan RM50 juta pada tahun hadapan kepada pesawah miskin oleh tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tidak dapat menyelesaikan masalah kemiskinan petani.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemilik Padiberas Nasional Berhad (Bernas) itu hanyalah langkah populis serta mahu menunjuk-nunjuk.

Menurutnya, ia bukan langkah penyelesaian kerana industri padi didakwa dibayangi kartel padi sejak puluhan tahun lagi.

“Petani sawah padi miskin bukan kerana syarikat konglamerat tidak bantu mereka dengan memberi wang RM10 juta atau RM50 juta. Mereka miskin kerana kitaran penghasilan padi dan industri padi dikawal oleh kartel-kartel besar sejak puluhan tahun,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

Muhammad Sanusi mendakwa, kewujudan kartel padi telah membelit sistem, kaedah dan proses dalam industri penanaman padi secara keseluruhan dengan pelbagai pendekatan.

“Segala sudut dalam industri padi, daripada input benih, baja, racun, mesin dalam proses penanaman sehinggalah kepada pemasaran, pengilangan dan pengurusan skim bantuan, ada pihak yang mengawalnya sejak puluhan tahun.

“Merekalah pihak yang paling beruntung. Mereka ini sebenarnya kartel padi. Setelah berbilion ringgit bantuan dan subsidi diturunkan melalui agensi-agensi di rancangan penanaman padi, petani kekal miskin, laba dan manisnya pergi kepada pihak lain,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sekiranya keseluruhan sistem yang terbelit itu tidak segera dirungkai, sampai bila pun nasib petani tidak akan berubah.

Artikel Berkaitan:

“Dari atas sampai bawah, dari benih subsidi padi sampai ke timbangan dan potong basah di kilang. Dari traktor, jentuai hinggalah kepada lori, dari input baja, racun, kuota benih dan varieti. Dari 'parit gila' hingga ke agensi terlibat, semuanya dalam mulut naga,” sindirnya.

Pada Isnin, Anwar memaklumkan Syed Mokhtar bersetuju memperuntukkan RM10 juta untuk tahun ini dan RM50 juta pada tahun hadapan kepada golongan pesawah miskin.

Persetujuan itu dicapai susulan teguran Anwar berhubung permasalahan monopoli import beras di negara ini.

Muhammad Sanusi turut menyifatkan sekiranya terdapat 10 individu seperti Syed Mokhtar sekalipun, tidak akan berupaya mengeluarkan petani daripada kemiskinan sekiranya kartel padi tidak ditangani.

“Berapa lamakah seorang Syed Mokhtar sanggup berikan RM50 juta setahun untuk selesaikan kemiskinan pesawah?,” soalnya.

Beliau turut menggambarkan kemiskinan petani sudah berlarutan lama malah sebelum wujudnya Bernas dan Lembaga Padi Negara (LPN).

“Sejak sistem padi kunca mula dikenalkan oleh pemborong dan pengilang padi, kemiskinan pesawah telah direncana supaya tidak akan berakhir.

“Sebelum wujudnya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 1973, pesawah padi telahpun miskin. Jeha dan Lahuma adalah watak sebenar keluarga petani Melayu miskin dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, kemiskinan mereka yang mendorong ditubuhkan MADA,” ujarnya.

Sebelum ini, pada Mei, Muhammad Sanusi pernah membangkitkan isu kartel padi yang didakwa wujud dalam industri padi sejak sekian lama sehingga menyebabkan penghasilan padi tidak mencapai tahap optimum.

Katanya, kartel padi mesti dihapuskan untuk mengubah nasib petani sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran hasil.