1MDB: Hak Najib dicabuli jika audio diterima sebagai bukti

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, hak bekas Perdana Menteri itu dicabuli sekiranya rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara pemimpin itu dengan kerabat diraja Arab diterima sebagai bukti.

Ketika perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, audio itu mungkin terusik, rosak atau mengandungi maklumat palsu.

"Jika peruntukan undang-undang mengenai penerimaan rakaman itu tidak dipatuhi, kedudukan anak guam saya akan terjejas.

"Beliau tidak boleh membangkitkan bantahan atas ketidakpatuhan itu berdasarkan tafsiran Seksyen 41 A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," katanya.

Muhammad Shafee berkata, penerimaan rakaman berkenaan umpama menafikan hak bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Menurutnya, pasukan pendakwaan telah menyalah gunakan proses mahkamah kerana tidak memasukkan komunikasi yang dipintas itu di bawah Seksyen 43 akta sama.

Sebaliknya beliau berkata, mereka menggunakan pintu belakang dengan memaksa mahkamah supaya menerima masuk 'bukti dokumen" di bawah Seksyen 41A tersebut.

Beliau turut mengulangi bahawa, ia menyalahi perlembagaan untuk menerima rakaman audio di bawah Seksyen 41(A) Akta SPRM kerana ia tidak menggunakan peruntukan Akta Keterangan 1950 (Akta 1950).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pihak pendakwaan perlu membuktikan setiap dokumen yang diperoleh.

Disebabkan itulah, beliau berkata, kerajaan memperkenalkan Seksyen 41(A) itu agar tiada mana-mana penjenayah terlepas daripada hukuman.

Najib, 69 berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.