Lelaki Bangladesh pandu lawan arus, lari sekatan polis

Pemandu lelaki warga Bangladesh yang ditahan kerana memandu melawan arus semasa sekatan jalan raya di KM7 Jalan Sungai Buloh, Selangor pada Isnin.
Pemandu lelaki warga Bangladesh yang ditahan kerana memandu melawan arus semasa sekatan jalan raya di KM7 Jalan Sungai Buloh, Selangor pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang lelaki nekad memecut melawan arus kenderaannya yang membawa muatan rokok seludup bagi mengelak daripada ditangkap semasa sekatan jalan raya di Kilometer (KM) 7 Jalan Sungai Buloh di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, tindakan lelaki warga Bangladesh itu dilakukan semasa Operasi Khas Saman Warganegara Asing yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.

Menurutnya, ketika operasi, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza telah berpatah balik melawan arus bagi mengelak daripada pemeriksaan.

"Anggota bertugas kemudian bertindak mengejar kenderaan itu sebelum berjaya ditahan kira-kira jam 12.10 tengah hari di Tol Elmina Lebuhraya Guthrie.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menjumpai 1,126 kotak rokok seludup dianggar bernilai RM7,000," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan mendapati pemandu berusia 25 tahun itu dipercayai berperanan sebagai transporter.

Katanya, suspek dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar bekalan rokok itu ke sebuah kedai di Kampung Baru Subang.

"Suspek kini direman 14 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," tegasnya.

Artikel Berkaitan: