Padah ekzos bising, polis sita 45 kenderaan

Antara kenderaan yang disita dalam operasi di ibu negara pada Sabtu dan Ahad lalu. - Foto PDRM
Antara kenderaan yang disita dalam operasi di ibu negara pada Sabtu dan Ahad lalu. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah mengubah suai kenderaan dengan menggunakan ekzos bising, sebanyak 35 buah kereta dan 10 motosikal disita dalam operasi penguatkuasaan di sekitar ibu negara, di sini pada Sabtu dan Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, seramai 114 anggota serta pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) terlibat dalam operasi di beberapa lokasi tumpuan pada hujung minggu berkenaan.

Dalam Op Halangan yang telah diadakan di sekitar Bukit Bintang, Jalan Alur, Jalan Changkat dan Jalan Raja Laut, sebanyak 35 buah kereta dan 10 buah motosikal telah disita.

"Sebanyak 397 saman telah dikeluarkan dalam operasi yang bermula dari jam 2 pagi dan selesai sekitar jam 4 pagi itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Yahaya berkata, kesemua kenderaan terlibat disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Kenderaan yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal sebelum dikembalikan kepada pemilik," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: