Kerjasama Petronas, ADNOC cerminan bina hubungan antarabangsa

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama antara anak syarikat pengeluar minyak dan gas negara, Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) merupakan cerminan dalam membina hubungan antarabangsa lebih jitu serta menjalin hubungan strategik dengan pelbagai negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menaruh sepenuh keyakinan bahawa syarikat dan bakat-bakat tempatan mampu menerajui idea serta peluang untuk bersaing di peringkat global.

“Saya menyambut baik perjanjian bersejarah antara Petronas dan ADNOC untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 di Abu Dhabi.

“Saya menjunjung kasih atas peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menjadi tenaga pendorong utama kepada kejayaan usaha ini.

Sumber gambar daripada Facebook Anwar pada Selasa
Sumber gambar daripada Facebook Anwar pada Selasa

“Pemeteraian kerjasama ini merupakan cerminan untuk kita membina hubungan antarabangsa yang lebih jitu serta menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai negara tatkala dunia sedang dalam pemulihan pasca Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya dalam siaran di Facebook pada Selasa.

Perjanjian bersejarah antara anak syarikat milik penuh Petronas dengan ADNOC itu melibatkan kerjasama meneroka dan menilai Blok 1 Luar Pesisir Bukan Konvensional yang meliputi kawasan konsesi 2,000 kilometer (km) persegi di wilayah Al Dhafra.

Sebelum ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat ke Abu Dhabi bagi melakukan kunjungan hormat ke atas Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan atas pelantikan sebagai Presiden UAE yang baharu dan juga bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan.

Artikel Berkaitan:

Sheikh Mohamed pula telah melakukan lawatan khas ke Malaysia atas persilaan peribadi Seri Paduka Baginda bersempena dengan Istiadat Pertabalan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

Keakraban Seri Paduka Baginda dan Sheikh Mohamed telah terjalin sejak kedua-dua pemimpin itu bertemu lebih 40 tahun lalu di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom di mana kedua-dua pemimpin adalah rakan kolej di akademi tersebut pada 1978 dan 1979 dan persahabatan mereka terjalin hingga kini.