Penalti yang tinggi jika batal ECRL

Tun Daim (kanan) bersama Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada program Bicara Darul Iman di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tun Daim (kanan) bersama Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada program Bicara Darul Iman di Wisma Darul Iman, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mengelakkan bayaran penalti yang tinggi kepada China sekiranya ia tidak diteruskan.

Pengerusi Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin berkata, keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira manfaat ekonomi bukan sahaja kepada usahawan tempatan tetapi juga kepada kontraktor tempatan.

Menurutnya, antara konsesi paling penting memihak kepada Malaysia adalah permintaan penglibatan kontraktor tempatan dalam ECRL yang meningkat kepada 40 peratus daripada keseluruhan kerja-kerja awam, berbanding hanya 30 peratus sebelum ini.

"Selain itu, industri sampingan seperti inap desa, perusahaan makanan, pengangkutan dan runcit pastinya akan berkembang dengan pembinaan ECRL. Bukan sahaja usahawan besar, malah usahawan kecil juga ada lebih banyak peluang.

"Peluang ini perlu direbut, terutama bagi usahawan bumiputera Terengganu dan seluruh Pantai Timur, sekali gus membuktikan mereka layak untuk bersaing," katanya ketika sesi soal jawab pada program Bicara Darul Iman di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Daim berkata, Terengganu tidak terkecuali daripada laluan ECRL kali ini dan rakyat berpeluang untuk menikmati kemudahan pengangkutan canggih itu dengan kadar tambang bersubsidi yang jauh lebih murah daripada kos sebenar.

"Kita bina ECRL untuk kemudahan rakyat, jadi mesti harga tiketnya bersubsidi, sama seperti KTM (Keretapi Tanah Melayu Berhad). Dulu bila kita buat kajian, kadar tambangnya sampai RM500 untuk ke Kuala Lumpur.

"Saya kata kalau begitu lebih baik naik kapal terbang. Jadi, tambangnya memang akan diberi subsidi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan sidang media pada jam 11 pagi esok di Kuala Lumpur untuk mengumumkan butiran lanjut mengenai ECRL termasuk kaedah pembayarannya.