Glamping digalak dapat penggredan Kementerian Pelancongan

Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan, Kementerian Pelancongan Roslan Mohammad (kiri) melawat bilik penginapan Boulder Valley Glamping, Teluk Bahang. - Foto Bernama.
Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan, Kementerian Pelancongan Roslan Mohammad (kiri) melawat bilik penginapan Boulder Valley Glamping, Teluk Bahang. - Foto Bernama.
A
A
A

BALIK PULAU - Pengusaha glamping di seluruh negara digalak mendapatkan penggredan daripada Kementerian Pelancongan bagi meningkatkan keyakinan pelancong terutama luar negara untuk menginap di premis mereka.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan Kementerian Pelancongan Roslan Mohammad berkata, dengan adanya penggredan, ia memberi manfaat kepada pengusaha glamping.

"Penilaian dan penggredan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan terhadap pengusaha glamping ini memberi pelbagai penekanan terutama dalam aspek keselamatan, kemudahan serta keselesaan yang ditawarkan kepada pelancong.

"Kami juga menitikberatkan beberapa aspek lain yang secara keseluruhannya terdapat 12 kriteria yang dinilai tertakluk kepada lokaliti keberadaan kawasan glamping tersebut,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Penggredan kepada Boulder Valley Glamping Penang di Teluk Bahang di sini hari ini.

Boulder Valley Glamping Penang hari ini menerima penggredan tiga Bintang Kategori Hotel Inovatif Resort di bawah Kementerian Pelancongan dan menjadi premis pertama yang diberikan penggredan itu di Malaysia.

Roslan berkata Kementerian Pelancongan menyasarkan lebih ramai pengusaha glamping yang akan diberikan penggredan pada 2023 namun setakat ini pihaknya tidak mempunyai data lengkap keseluruhan pengusaha tersebut di seluruh negara memandangkan industri itu masih baharu berkembang.

Beliau berkata setakat tahun ini terdapat dua pengusaha glamping yang telah memohon mendapatkan penggredan daripada Kementerian Pelancongan dan difahamkan pengusaha tersebut sedang berbincang untuk menubuhkan persatuan mereka bagi memudahkan urusan permohonan lesen serta penggredan.

''Kementerian Pelancongan menetapkan syarat utama yang perlu dipatuhi pengusaha glamping sebelum memohon untuk mendapatkan penggredan daripada kami ialah mereka mesti mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Boulder Valley Glamping Penang P. Nagaswaran berkata kejayaan premis itu memperoleh penggredan merupakan antara usaha berterusan pihak pengurusan resort tersebut untuk menjadikan ia lebih dikenali pelancong asing dan tempatan.

Artikel Berkaitan:

''Kami yakin selepas berjaya memperoleh penggredan tiga Bintang Kategori Hotel Inovatif Resort, kita akan komited untuk dapatkan penggredan empat bintang pula selepas ini,'' katanya. - Bernama.