Bina RMMJ, B40 tidak mampu beli rumah 'harga kayangan'

Mohd Fuad
Mohd Fuad
A
A
A

MUAR - Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) perlu dibina di kawasan Bukit Naning di sini bagi membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya B40 memiliki kediaman sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin berkata, ini kerana sebahagian besar generasi muda masih tidak mampu memiliki rumah sendiri berikutan harga rumah di Johor ketika ini dikategorikan sebagai 'harga kayangan'.

"Keadaan ini mengakibatkan mereka hanya mampu melihat dan tidak mampu membeli berikutan harganya yang begitu tinggi.

"Sebagaimana kita maklum RMMJ yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air ini dibina berasaskan konsep sekeluarga hidup bersama selesa, dijual dengan harga mampu dimiliki merupakan skim perumahan terbaik di negeri ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selain itu beliau berharap, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dapat menyediakan tapak untuk pembinaan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Bukit Naning.

Jelasnya, ini bagi memastikan usaha pembangunan infrastruktur dan kemudahan pendidikan dapat dibina di Bukit Naning agar selaras dengan kepesatan arus pembangunan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fuad berkata, Jabatan Pertanian serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) wajar turun padang dan mencari jalan membantu meningkatkan sosio ekonomi kerana rata-rata penduduk Bukit Naning merupakan petani.

Katanya, agensi berkenaan perlu melihat bantuan yang boleh diberikan untuk meningkatkan produktiviti serta pendapatan petani selain menambah baik dan meningkatkan kemudahan pertanian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, petani di Bukit Naning amat memerlukan perancangan program lebih produktif serta kemudahan yang dapat mempertingkatkan lagi pemasaran hasil-hasil pertanian dengan mewujudkan satu pusat sehenti.

Jelasnya, pusat sehenti tersebut bagi mengumpul serta memasarkan hasil pertanian yang akan memberi galakan dan meningkatkan produktiviti pertanian serta pendapatan sekali gus mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Bagi memajukan lagi Bukit Naning, beliau berkata, kerajaan perlu menimbang cadangan projek pembinaan jalan pintas yang menghubungkan Muar Furniture Park dengan kawasan Batu 11 arah Tol Pagoh membabitkan kos RM60 juta.

"Masyarakat Bukit Naning amat mengharapkan kerajaan negeri menyokong projek ini disegerakan demi kesejahteraan penduduk tempatan. Projek ini dapat membantu memacu ekonomi di kawasan sekitar terutama di Bukit Naning serta ekonomi Johor secara amnya," katanya.