Pelajar Tingkatan Lima maut dirempuh kereta

Keadaan motosikal yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan pada Isnin (Foto media sosial). Gambar kecil: Adam Haris Murshidi
Keadaan motosikal yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan pada Isnin (Foto media sosial). Gambar kecil: Adam Haris Murshidi
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pelajar Tingkatan Lima Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, di sini, maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang memotong kenderaan lain di Jalan Salor Baru - Pasir Mas, di sini, pada Isnin.

Mangsa, Adam Haris Murshidi Mohd Lokman, 17, meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku pada jam 7.30 petang.

Mangsa dari Kampung Demit, Pulau Hilir, Mukim Pulau, Kubang Kerian, di sini, maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Pemandu kereta, lelaki berusia 33 tahun yang juga promoter produk kecantikan pula cedera bahagian muka dan kepala serta dirawat di Zon Kuning Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Penumpang hadapan, seorang pemuda berusia 24 tahun yang juga kontraktor mengalami luka ringan pada tangan kanan dan kaki serta dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kemalangan berlaku semasa penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas.

Kereta Perodua Kancil remuk selepas melanggar sebuah motosikal dan sebatang tiang lampu. - Foto media sosial
Kereta Perodua Kancil remuk selepas melanggar sebuah motosikal dan sebatang tiang lampu. - Foto media sosial

“Sampai di tempat kejadian, kereta Perodua Kancil yang dipandu dari arah bertentangan memasuki laluan motosikal sewaktu cuba memotong sebuah kereta lain di hadapannya dan berlaku pertembungan dengan motosikal itu.

Artikel Berkaitan:

“Akibatnya, penunggang jatuh manakala motosikal tercampak sejauh sembilan meter ke bahu jalan. Kereta itu pula terbabas ke kiri laluan dan melanggar sebatang tiang elektrik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Selasa.

Menurutnya, penunggang yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini untuk bedah siasat.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Kancil yang memotong kenderaan lain tanpa memastikan keadaan selamat.

“Siasatan kes masih diteruskan,” katanya.