Lebih 500 kawasan di 8 wilayah Ukraine tiada bekalan elektrik

Wilayah Kharkiv paling teruk terjejas berikutan 112 perkampungan masih belum mendapat akses semula kepada bekalan kuasa elektrik. - Foto: Agensi
Wilayah Kharkiv paling teruk terjejas berikutan 112 perkampungan masih belum mendapat akses semula kepada bekalan kuasa elektrik. - Foto: Agensi
A
A
A

KIEV - Kira-kira 507 kawasan di lapan wilayah masih tiada bekalan elektrik pada Ahad setelah grid kuasa utama menjadi sasaran bedilan serangan udara Rusia sejak lebih seminggu lalu.

"Musuh terus menyerang infrastruktur penting di Kiev. Jutaan penduduk terpaksa bergelap walaupun bekalan kuasa elektrik disambung semula secara berperingkat," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Yevgueny Yenin.

Menurutnya, wilayah Kharkiv paling teruk terjejas berikutan 112 perkampungan masih belum mendapat akses semula kepada bekalan kuasa elektrik.

Kira-kira 90 perkampungan lain di wilayah Donetsk, Kherson serta Mykolaiv juga semakin terancam susulan ketibaan musim sejuk," ujarnya lagi.

Pemotongan bekalan kuasa harian di beberapa wilayah telah menyebabkan jutaan penduduk tidak boleh menggunakan alat pemanas untuk menghadapi suhu yang semakin menurun di bawah sifar darjah Celsius. - AFP