Gagal langsai gaji tertunggak punca merusuh

Berlaku rusuhan membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah kilang di Sepanggat, Kota Kinabalu.
Berlaku rusuhan membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah kilang di Sepanggat, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Gagal melangsaikan gaji tertunggak sebanyak RM10,000 dipercayai jadi punca dua kumpulan merusuh di hadapan sebuah kilang makanan laut di Sepanggar, pada Khamis lalu.

Kejadian yang menyebabkan kecederaan itu tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 33 saat pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada jam 12.15 tengah hari Khamis lalu.

"Dalam kejadian itu terdapat empat lelaki bertindak menyekat laluan keluar masuk ke kilang berkenaan dengan menggunakan kereta Perodua Bezza.

"Sekumpulan lelaki itu datang untuk berjumpa dengan pengusaha kilang yang dikatakan gagal menjelaskan hutang sebanyak RM10,000 kepada salah seorang lelaki berkenaan.

"Rakan kepada pengusaha kilang berkenaan telah mengarahkan kumpulan lelaki itu untuk mengalihkan kenderaan mereka tetapi tidak diendahkan lalu bertindak membaling alat pemadam api ke arah kereta Perodua Bezza sehingga menyebabkan cermin tingkap di bahagian penumpang hadapan pecah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah Mohd Zaidi lagi, akibat kejadian itu kumpulan lelaki berkenaan bertindak balas dengan menyerang semula pengusaha kilang dan rakannya.

"Mereka menumbuk dan memukul pengusaha kilang dan rakannya termasuk menggunakan rantai besi dan salah seorang lelaki juga bertindak mengambil parang lalu cuba menyerang namun telah diredakan oleh ketua kumpulan lelaki berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Akibat kejadian itu pengusaha kilang cedera ringan di telinga kiri dan sakit di bahagian badan manakala rakannya cedera di belakang kepala serta menerima lima jahitan di pusat kesihatan Manggatal," katanya.

Susulan kejadian itu, Mohd Zaidi berkata, polis buka kertas siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 324 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata berbahaya.

"Ketua kumpulan lelaki berkenaan yang berusia 47 tahun dan pekerjanya berusia 53 tahun telah ditahan dan rantai besi yang digunakan untuk menyerang mangsa serta kenderaan Perodua Bezza turut dirampas.

"Polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki yang terlibat dalam kes ini dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai polis kes ini iaitu Inspektor S Vermal di taliaan 010-2314432," katanya.

Mohd Zaidi dalam pada itu turut mengesahkan bahawa kejadian itu tidak melibatkan unsur kongsi gelap dan ia berpunca rasa tidak puas hati bekas pekerja dan majikan di mana rakan kongsi masih gagal melangsaikan baki gaji tertunggak.