Perjanjian pelbagai parti akan ditandatangani masa terdekat

Zambry pada sidang akhbarnya di Kementerian Luar pada Isnin.
Zambry pada sidang akhbarnya di Kementerian Luar pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu perjanjian daripada pelbagai parti dalam kerajaan akan ditandatangani dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dengan termeterainya perjanjian tersebut kelak, ia mampu meyakinkan rakyat terhadap pelbagai parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini.

“Kita telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan saya boleh cakap, kita kini di peringkat draf terakhir tentang perjanjian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di majlis ramah mesra bersama Menteri Luar pada Isnin.

Zambry sebelum itu ditanya bagaimana parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini mahu menunaikan manifesto mereka.

Antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ialah seperti BN, Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bekas Menteri Besar Perak itu dalam masa sama enggan mendedahkan kandungan perjanjian yang akan ditandatangani itu.

“Saudara akan dimaklumkan nanti apabila kita tandatangani (perjanjian) itu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai soal dasar, Menteri Luar itu berkata tidak dapat mengemukakannya secara mendalam.

“Kerana ia memerlukan penjelasan dan juga penelitian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tetapi asas-asas dasar seperti saya sebutkan Malaysia telah gunakan selama ini iaitu dari segi dasar berkecuali untuk kita saling bekerjasama dengan negara-negara lain itu tetap menjadi asas utama dalam hubungan antarabangsa,” ujarnya.