Polis kesan waris rangka mayat tanpa identiti

Pakaian yang ditemui bersama rangka manusia dalam semak berhampiran tangki air belakang sebuah kilang di Jalan Gebeng di sini, 27 September lalu.
Pakaian yang ditemui bersama rangka manusia dalam semak berhampiran tangki air belakang sebuah kilang di Jalan Gebeng di sini, 27 September lalu.
A
A
A

KUANTAN - Polis sedang mengesan waris rangka mayat seorang lelaki yang ditemui dalam semak berhampiran tangki air belakang sebuah kilang di Jalan Gebeng di sini, 27 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, rangka manusia dipercayai warga asing itu ditemui jurutera projek sebuah syarikat ketika membersihkan kawasan tersebut untuk kerja-kerja memasang paip.

Menurutnya, tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersama mangsa kecuali baju berwarna kelabu bertulisan 'You Can't Fool Me Twice' dan seluar berwarna hitam dalam keadaan koyak.

"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa adalah lelaki warga asing dan berusia dalam lingkungan 50 tahun ke atas.

"Rangka tersebut kini berada di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sementara usaha mengesan waris dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Wan Mohd Zahari berkata, penemuan rangka manusia itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

Tambah beliau, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta hadir membuat pengecaman berdasarkan barang bukti yang ditemui bersama mayat.

"Jika tiada waris tampil, rangka berkenaan akan dirujuk kepada jabatan agama untuk proses selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan: