Fadillah mula tugas sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi

Fadillah mengimbas kad perakam waktu semasa hadir untuk menghadiri taklimat bersama pengurusan tertinggi kementerian pada Isnin. - Foto Bernama
Fadillah mengimbas kad perakam waktu semasa hadir untuk menghadiri taklimat bersama pengurusan tertinggi kementerian pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof memulakan tugas rasminya di kementerian itu dengan mengimbas kad perakam waktu tepat pada 8.30 pagi di sini, pada Isnin.

Ketibaan Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha Mad Zaidi Mohd Karli, Setiausaha Bahagian Kanan (SUBK) Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA) Pubadi Govindasamy, Ketua Komunikasi Korporat Nor Ratna Sridewi Mokhtar serta pegawai dan kakitangan kementerian itu.

Sejurus selepas mengimbas kad perakam waktu, beliau dibawa ke pejabatnya untuk menghadiri satu sesi taklimat mengenai kementerian itu bersama ketua-ketua jabatan.

Seterusnya, beliau menghadiri mesyuarat khas kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra pada 10 pagi.

Beliau dijadual ke pejabat Timbalan Perdana Menteri bagi simbolik memulakan tugas rasmi jawatan itu selepas mEsyuarat khas kabinet berkenaan.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu ialah seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet Kerajaan Perpaduan selain Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: