Piala Dunia Qatar buka mata Senegal

Cisse (tengah) dan Senegal meraih pengalaman berguna di pentas Piala Dunia Qatar 2022. - Foto EPA
Cisse (tengah) dan Senegal meraih pengalaman berguna di pentas Piala Dunia Qatar 2022. - Foto EPA
A
A
A

SENEGAL memperoleh pengalaman berharga di pentas Piala Dunia 2022 selepas tersingkir daripada saingan kalah mati di Qatar pada Isnin.

Jurulatih Senegal, Aliou Cisse menganggap jurang kualiti dengan jagoan Eropah, England memisahkan mereka apabila akur tewas 0-3 di Stadium Al Bayt pada Isnin.

Gol Jordan Henderson dan Harry Kane pada babak pertama memberikan cabaran besar untuk dihadapi Senegal dan jaringan ketiga Bukayo Saka pada babak kedua menutup terus peluang mereka.

"Perlawanan berlanjutan selama 90 minit. Pada babak pertama kami bermain agak baik dan mencipta peluang tapi malangnya kami tidak menjaringkan gol.

"England pasukan yang sangat bagus dan kami boleh melihatnya menerusi cabaran mereka, kekuatan fizikal. Kami tidak sebagus seperti sepatutnya," ujar Cisse.

Cisse yang tidak berapa sihat menjelang pertemuan itu turut meratapi kelemahan benteng pertahanan yang mudah dirobek England.

"Kekuatan Senegal sebelum Piala Dunia ialah benteng pertahanan. Punca kenapa kami melepaskan banyak gol dalam kejohanan kali ini sukar diterangkan. Kami akan melihatnya.

"Anda membayar untuk sebarang kesilapan di Piala Dunia kerana kaliber dimiliki pasukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Cisse, pasukannya kehilangan dua atau tiga pemain yang mampu menampilan perubahan seperti penyerang, Sadio Mane, namun terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

Bagaimanapun ia bukan alasan.

"Kami bekerja keras bertahun-tahun untuk menjadi yang terbaik di Afrika.

"Namun kami berdepan satu daripada lima pasukan terbaik dunia dan kami dapat melihat perbezaannya," katanya.