Menteri Kewangan: Pengalaman Anwar diperlukan untuk stabilkan ekonomi

Nik Nazmi.
Nik Nazmi.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, mempertahankan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menggalas portfolio sebagai Menteri Kewangan.

Nik Nazmi berkata, pengalaman Anwar sebagai Menteri Kewangan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pernah berdepan krisis ekonomi pada tahun 1990-an diperlukan bagi menangani kemelut ekonomi yang berlaku ketika ini.

"Memikirkan soal ekonomi yang sangat tidak stabil, Anwar layak kerana beliau pernah mengemudi negara pada era 1990-an (zaman krisis ekonomi), jadi kita harap dengan pengalaman itu sangat penting seseorang seperti Anwar, untuk mengemudi ekonomi negara,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran bukunya, ‘Anak Malaysia: Sebuah Perjalanan Politik Progresif’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF),di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Ahad.

Buku yang berkisarkan mengenai kisah hidup Nik Nazmi dan refleksinya tentang politik Malaysia itu, dilancarkan oleh bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Sebelum ini, Anwar pernah menjadi Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1998 dan Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga 1998.

Ahli Parlimen Tambun itu juga pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia pada tahun 1990-an. - Bernama.

Artikel Berkaitan: