Dadah RM600,000 dihantar dari Semenanjung ke Sarawak guna kurier

PDRM
PDRM
A
A
A

SIBU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM643,157 dengan penahanan seorang penganggur lelaki di bandar ini Khamis lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri berkata, dadah yang dirampas di sebuah pangsapuri di Lorong Sena di sini itu boleh digunakan oleh 50,423 orang atau 50,423 kali penggunaan.

"Dadah yang dirampas itu terdiri daripada syabu, ketamin, erimin 5, serbuk jus ekstasi, pil ekstasi dan magic mushroom (psilosibin),” katanya pada sidang media di IPD Sibu pada Ahad.

Beliau berkata, pengedaran dadah tersebut didalangi sindiket bergiat aktif di sekitar Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri dan mendapat bekalan dari pengedar di Semenanjung Malaysia yang dihantar melalui perkhidmatan kurier.

Mohamad Azman berkata suspek berusia 29 tahun yang ditangkap di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Bunga Raya tersebut juga merupakan orang tempatan dan telah direman hingga 7 Dis ini untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan berkaitan dadah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) dan Seksyen 12 (2) ADB 1952 serta telah menjalani hukuman penjara dan diletak di bawah pengawasan pada tahun 2018.

Katanya suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak dua bulan lepas dengan upah RM1,000 seminggu merupakan runner kepada sindiket itu dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan ketua sindiket tersebut yang masih bebas dan merupakan orang tempatan berusia dalam lingkungan 40-an.

"Suspek menjadikan sebuah rumah pangsapuri sebagai stor penyimpanan dadah dan tempat pembungkusan semula dadah kepada paket-paket yang lebih kecil. Setelah menerima arahan daripada ketuanya, suspek akan meletakkan dadah tesebut di tepi jalan di sekitar Sibu dan memaklumkan kembali ketuanya yang seterusnya menyuruh pelanggan mengambil dadah tersebut,” jelasnya.- Bernama.

Artikel Berkaitan: