Cadang tubuh tabung kawal selia projek Persekutuan bagi Sarawak

Abang Johari Tun Openg - Bernama Photo
Abang Johari Tun Openg - Bernama Photo
A
A
A

KUCHING - Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan supaya satu tabung amanah negeri ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan khusus bagi mengawal selia dana serta projek kerajaan Persekutuan yang diluluskan untuk Sarawak.

Beliau berkata, pendekatan baharu itu telah dibincangkan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan dalam satu perjumpaan semalam.

"Saya berbincang dengan Perdana Menteri supaya satu pendekatan baharu diwujudkan dalam pentadbiran (melibatkan) Pusat dan negeri.

"Beliau telah bersetuju pada prinsipnya supaya pembangunan di Sarawak yang mempunyai dana daripada Persekutuan akan dilihat semula,” katanya dalam sidang media selepas perasmian dewan Persatuan Badminton Sarawak dan Kejohanan Piala Abang Jo 2022 pada Ahad.

Katanya sebagai contoh, peruntukan dana pembangunan RM4.6 bilion bagi Sarawak dalam Belanjawan 2022 akan diletakkan di bawah tabung amanah berkenaan.

Abang Johari berkata rangka kerja bagi penubuhan tabung itu akan ditentukan oleh jawatankuasa di antara Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, pelantikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi adalah keputusan yang tepat, memandangkan Sarawak dijangka menjadi pengeluar minyak sawit terbesar negara dalam tempoh dua tahun ini.

"Selain itu, komoditi baharu (di Sarawak) kini adalah karbon dan hidrogen, maknanya kerajaan Persekutuan boleh membantu kita (mengenai) perniagaan karbon di peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya, Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengambil alih portfolio Fadillah sebelum ini iaitu Kementerian Kerja Raya, dapat memastikan program infrastruktur luar bandar di Sarawak terus ditingkatkan.

Artikel Berkaitan:

Selain Fadillah dan Nanta, tiga lagi wakil GPS yang dilantik dalam kabinet Kerajaan Perpaduan termasuk Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

Mengenai sektor sukan di negeri itu, Abang Johari berkata, selain memberi fokus untuk meningkatkan bakat pemain badminton beliau juga mahu isu berkaitan sukan bola sepak dan sepak takraw Sarawak diteliti secara menyeluruh. - Bernama.