Jangan berkira duit tambang pulang mengundi: Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

KULIM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyelar tindakan segelintir penyokong dan pengundi yang mengharapkan wang untuk pulang mengundi.

Menurutnya, perbuatan itu amat memalukan kerana penyokong parti lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) dikatakan tidak pernah meminta walau 10 sen daripada parti untuk melaksanakan tanggungjawab mereka itu.

Jelasnya, pengundi PH sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk pulang dari luar negara bagi menunaikan tanggungjawab mereka kerana tahu kepentingan setiap undi.

"Undi kita penting, jangan berkira duit minyak RM50, RM100 atau RM200 (kerana) yang lawan kita balik dari Taiwan, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia, duit tambang sekupang pun tak minta.

"Dia undi PH, dia jahanamkan kita. Hampa (anda) RM50 riuh merata, minta merata buat video dan tunjuk kat orang, buat malu. Kawan tu balik habis puluh ribu, sekupang dia tak minta pasal dia tau penting tanah ini untuk dikuasai," katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah PN Padang Serai di sini.

Menteri Besar Kedah itu berkata, sikap berkira tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pengundi PN.

"Ini tidak lagu (macam) kita ni, patut lah kita kena jajah teruk, patut kemenangan kita dirampas begitu sahaja pasai (kerana) kita ini bangsa berkira, taik hidung masin.

"(Ada pengundi PH) balik daripada Australia satu keluarga RM40,000 berhabis, dia undi PH, bukan duduk sini pun tak berkira pun, tak ada buat video apa," katanya.

Artikel Berkaitan: