Keluarga pendorong utama tamatkan pengajian: PU Riz

PU Riz bersama isteri, Neelofa dan ahli keluarganya pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-38 pada Ahad.
PU Riz bersama isteri, Neelofa dan ahli keluarganya pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-38 pada Ahad.
A
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail menyifatkan faktor keluarga yang memainkan peranan sebagai pendorong utama menyebabkan beliau berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengkhususan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua pada Ahad.

Muhammad Haris, 27, atau lebih dikenali sebagai PU Riz terdahulu menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Pendidikannya daripada Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Samsudin Osman.

Suami kepada selebriti popular, Neelofa itu turut mengucapkan syukur kepada ALLAH SWT kerana membolehkan beliau menamatkan pengajiannya.

“Terima kasih kepada ALLAH SWT kerana bagi juga habis belajar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-38 di sini.

Dalam majlis yang berlangsung pada Ahad, seramai 890 orang graduan menerima skrol masing-masing bagi sidang kedua yang berlangsung di Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak.

Seramai 590 graduan menerima ijazah sarjana dalam pelbagai bidang manakala seramai 300 graduan lain menerima ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan.

PU Riz menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Pendidikannya daripada Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman pada Ahad.
PU Riz menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Pendidikannya daripada Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman pada Ahad.

Majlis Konvokesyen UIAM berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 Disember itu melibatkan seramai 5,189 graduan menerima skrol masing-masing melibatkan 17 kuliyyah dalam pelbagai bidang pengajian di peringkat doktor falsafah, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Neelofa juga berasa bangga dan gembira atas pencapaian suaminya itu.

“Saya sempat menyaksikan kesusahan dia untuk membahagikan antara kerja dan pembelajaran. Alhamdulillah habis juga dia belajar.

“Ini juga merupakan satu semangat kepada mereka di luar sana yang membuat pelbagai (kerja) bukan halangan untuk habiskan pembelajaran mereka,” ujarnya.

Neelofa turut berkongsi cabaran yang dihadapi oleh suaminya semasa belajar termasuk menyiapkan pelbagai tugasan pada tahun pertama perkahwinan mereka.

“Masa tahun pertama berkahwin itu nampaklah, dia kena siapkan macam-macam tugasan.

“Sambil kita tengah honeymoon (bulan madu) pun, ada kelas-kelas dia kena hadir sampai saya kena setkan jam loceng untuk dia ke kelas. Masa itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua dalam talian,” jelasnya.