Piala Agong: Putrajaya jinakkan juara bertahan Terengganu

Pemain Putrajaya meraikan kejayaan menjuarai Piala Agong 2022 selepas menewaskan Terengganu dalam perlawanan akhir pada Sabtu. Foto: bernama
Pemain Putrajaya meraikan kejayaan menjuarai Piala Agong 2022 selepas menewaskan Terengganu dalam perlawanan akhir pada Sabtu. Foto: bernama
A
A
A

PUTRAJAYA cipta sensasi apabila melakar sejarah menjuarai Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi-38 dengan menundukkan juara bertahan Terengganu 18-15, pada perlawanan akhir di Stadium Ragbi Pangkalan Udara Subang, pada Sabtu.

Putrajaya yang mendominasi perlawanan seawal minit pertama, mendahului Terengganu 6-0 menerusi tendangan penalti Simione Tuivanuavou Bulai, masing-masing pada minit ke-14 dan ke-25 sebelum menutup aksi babak pertama dengan keputusan 13-5.

Aksi babak kedua pula menyaksikan pasukan pantai timur yang mengasak kubu Putrajaya, di peringkat awal merapatkan jurang 13-12 menerusi try oleh Noor Alif Ikhmal Noor Hisham disusuli conversion Muhammad Faris Pead pada minit ke-48.

Tendangan penalti diambil Muhammad Faris selang enam minit kemudian menepati sasaran, untuk meletakkan Terengganu di depan buat kali pertama, 15-13.

Tersentak dengan kedudukan itu, usaha Putrajaya yang terus 'menekan' Terengganu membuahkan hasil apabila try dilakukan Badrul Muktee pada minit ke-71 meletakkan mereka kembali di depan, 18-15, sekali gus mengesahkan mahkota kejuaraan milik skuad kendalian bekas pemain All Blacks, Brad Mika.

Sementara itu, tonggak utama Putrajaya K Dinesvaran, gembira dapat kembali mencatat kejayaan di Piala Agong selepas kali terakhir menikmatinya pada 2008 ketika bersama Kedah.

Beliau yang disunting Putrajaya bagi kejohanan kali ini selepas beraksi dalam saingan Japan Top League bersama Hino Red Dolphins, tidak menyangka dapat mencipta keserasian bersama rakan pasukan dalam masa singkat sehingga berjaya membantu mereka bergelar juara Piala Agong.

Sementara itu Mika mendedikasikan kejayaan pasukannya kepada pengurusan Ragbi Putrjaya terutamanya Presidennya Shahir Sidek, atas sokongan terbaik sepanjang pertandingan itu.

Artikel Berkaitan:

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan hadir menyaksikan perlawanan akhir, turut menyampaikan hadiah kepada Putrajaya dan Terengganu.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) muncul pasukan ketiga terbaik selepas menang tipis, 35-34, ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.