Cameroon ada masa depan cerah

Vincent Aboubakar pencetak gol kemenangan Cameroon ketika berdepan Brazil. - Foto Agensi
Vincent Aboubakar pencetak gol kemenangan Cameroon ketika berdepan Brazil. - Foto Agensi
A
A
A

GERGASI Afrika, Cameroon mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia selepas berjaya menewaskan kuasa bola sepak dunia, Brazil 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan G di Stadium Lusail pada Sabtu, sekali gus kemenangan pertama selepas 20 tahun di kejuaraan tersebut.

Cabaran The Indomitable Lions asuhan Rigobert Song di Qatar 2022 itu berhenti di peringkat kumpulan selepas pesaing terdekat Switzerland mengatasi Serbia 3-2 di Stadium 974 - Ras Abu Aboud.

Keputusan itu menyaksikan Switzerland memintas Cameroon dengan kelebihan dua mata untuk mara ke pusingan 16 terbaik Qatar 2022 mengiringi Brazil yang juga juara kumpulan.

Namun biarpun perjalanan Cameroon telah berakhir, Song percaya terdapat elemen positif dipamerkan para pemainnya terutama karakter menyaingi pasukan pilihan seperti Brazil, Switzerland dan Serbia di Qatar.

"Saya cuba mencari semangat berpasukan, semangat singa itu, yang menjadi kunci kepada kejayaan pasukan Cameroon selama ini.

"Kami mempunyai skuad muda yang bertenaga, namun tidak mempunyai masa yang cukup bersama untuk membentuk keserasian," kata Song selepas perlawanan.

Tambah Song, dia percaya pemain muda ini boleh membentuk pasukan yang hebat dan yang sangat bagus.

" Ya, memang memalukan apabila terpaksa pulang pada peringkat kumpulan, namun semua perlu melihat dari sudut positif kemampuan dan daya saing diberikan pasukan ini di Qatar.

"Kami perlu terus bekerja dan terus bergerak, saya percaya kepada pemain saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada perlawanan itu, gol minit ke-93' pemain kelab liga Arab Saudi, Al Nassr, Vincent Aboubakar membolehkan Cameroon menjinakkan Brazil yang telah mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik, 1-0.

Cameroon sebelum ini menyingkap saingan dengan tewas tipis 0-1 kepada Switzerland pada 24 November sebelum mengikat Serbia 3-3 pada 28 November lalu.