Jangan salah guna nama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor

Raja Zarith Sofiah - Foto Royal Press Office
Raja Zarith Sofiah - Foto Royal Press Office
A
A
A

JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah agar tiada pihak yang menggunakan logo atau nama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) untuk kepentingan komersial.

Menurut baginda, sebagai bonda kepada Almarhum Tunku Laksamana Johor, baginda berharap dapat menjalankan tugas sebagai Pengerusi YKTLJ.

“Almarhum dan kami sekeluarga berniat menolong rakyat Johor yang memerlukan rawatan kanser.

“Saya akan cuba menjaga nama baiknya dan tidak mahu mana-mana pihak menggunakan logo atau nama yayasan ini semata-mata untuk kejayaan komersial perniagaan mereka,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Makan Malam Amal 'Rays of Light' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini pada Jumaat.

Majlis tersebut turut berjaya mengumpul dana sebanyak RM 1,002,000 yang akan digunakan bagi tujuan aktiviti-aktiviti YKTLJ.

Titah baginda, sepanjang enam tahun sejak penubuhannya sehingga Oktober 2022, YKTLJ telah membantu 3,078 pejuang kanser dengan nilai dana bantuan dan rawatan berjumlah RM10.2 juta.

“Selain itu, yayasan ini turut mendorong usaha menambah baik kemudahan beberapa hospital di Johor bagi meningkatkan keselesaan pejuang-pejuang kanser ketika menjalani proses rawatan.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak RM1.78 juta telah turut digunakan untuk menambah baik kemudahan pejuang kanser dalam negeri Johor ini dan memanfaatkan lebih 100,000 orang,” titah baginda.

Baginda menzahirkan keyakinan bahawa usaha dan inisiatif bantuan kepada pejuang kanser akan diperluaskan seiring peredaran zaman serta berharap sokongan semua pihak kepada YKTLJ akan berterusan, malah bertambah kukuh.