Bersatu Johor yakin keupayaan MB baharu

Pengarah Media Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri yakin Menteri Besar Johor yang baharu mampu membawa Johor menjadi sebuah negeri lebih maju dan kubu kuat PH.
Pengarah Media Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri yakin Menteri Besar Johor yang baharu mampu membawa Johor menjadi sebuah negeri lebih maju dan kubu kuat PH.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bersatu Johor mengucapkan tahniah kepada Dr Sahruddin Jamal atas pelantikan sebagai menteri besar baharu.

Pengarah Medianya, Mohd Solihan Badri berkata, ucapan terima kasih turut diucapkan kepada pucuk pimpinan Bersatu pusat kerana berjaya mengekalkan jawatan menteri besar Johor daripada parti tersebut.

"Ucapan terima kasih juga wajar dihulur kepada ketua-ketua komponen parti Pakatan Harapan (PH) Johor kerana mencapai kata sepakat bahawa menteri besar Johor adalah dari Bersatu.

"Pelantikan menteri besar daripada Bersatu adalah bukti persefahaman dan kerjasama kukuh antara komponen PH di negeri ini," katanya di sini hari ini.

Mohd Solihan berkata, Bersatu Johor yakin dan menaruh harapan yang tinggi ke atas keupayaan Sahruddin untuk memimpin Johor sebagai sebuah negeri maju dan kubu kuat PH.

Selain itu, katanya, pihak pembangkang turut meminta menghentikan segala serangan peribadi terhadap pemimpin kerajaan negeri, sebaliknya membantu dan menyokong pelaksanaan pembangunan untuk kepentingan rakyat Johor.

"Sebarang teguran membina harus disalurkan melalui cara yang betul dan elakkan daripada mengelirukan rakyat untuk kepentingan diri dan perjuangan sempit," katanya.

Beliau berkata, kepimpinan Bersatu peringkat bahagian harus memberi sokongan padu kepada Sahruddin untuk melaksanakan tugasnya, termasuk mengukuhkan parti.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, Bersatu Johor juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Osman Sapian atas khidmat cemerlang sepanjang khidmatnya sebagai menteri besar pertama PH di negeri ini.