Pengalaman Euro 2020 matangkan Perancis di Qatar 2022

Antoine Griezmann - Foto EPA
Antoine Griezmann - Foto EPA
A
A
A

PERANCIS kembali ke pusingan 16 terbaik selepas berada pada peringkat tersebut di Euro 2020 tahun lalu, dengan memori disingkirkan Switzerland masih segar menjelang pertemuan menentang Poland di Piala Dunia Qatar 2022 pada Ahad ini.

Les Bleus mendahului 3-1 menentang Switzerland tetapi melepaskan dua gol dalam 10 minit terakhir sebelum ditunjukkan jalan keluar menerusi penentuan sepakan penalti.

“Saya rasa kami terlalu santai menentang Switzerland. Apabila kami mendahului 3-1, kami fikir ia sudah berakhir.

Dalam pertandingan besar anda sedar bahawa tidak ada lawan yang mudah, ia akan menjadi sama ketika menentang Poland. Tiada apa yang dijamin, kami perlu fokus dari yang pertama hingga detik terakhir.

“Kami perlu ingat bahawa tiada apa yang boleh dipandang remeh,” kata pemain tengah Antoine Griezmann.

Poland mempunyai dua aset utama - penyerang Robert Lewandowski, dan penjaga gol Wojciech Szczesny, yang menafikan dua sepakan penalti dalam tiga perlawanan di Qatar 2022.

Cara terbaik untuk tidak menguji Szczesny adalah dengan memastikan perlawanan tidak berlarutan sehingga ke penentuan sepakan penalti.

"Kami akan melakukan segala-galanya untuk mengelak daripada penentuan penalti. Bagaimanapun kami perlu berusaha untuk itu semasa latihan," kata pemain pertahanan William Saliba.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Perancis masih belum dianugerahkan sepakan penalti pada Piala Dunia di Qatar dan Griezmann tidak akan menyatakan siapa yang akan mengambilnya sekiranya peluang itu muncul di Stadium Al Thumama.

"Siapa yang mengambil penalti adalah sangat jelas bagi kami. Tetapi saya tidak akan memberi sebarang maklumat kepada Szczesny, dia sudah cukup bagus. Mari kita buat kejutan.

“Kami akan mengusahakannya hari ini, atau lebih berkemungkinan esok kerana sesi latihan hari ini terbuka kepada media,” kata Griezmann.

Pemenang pertembungan Perancis menentang Poland akan menentang sama ada England atau Senegal pada suku akhir.