Piala Dunia: Martinez letak jawatan

Martinez meletak jawatan selepas Belgium tersingkir pada saingan Piala Dunia Qatar 2022. - Foto EPA
Martinez meletak jawatan selepas Belgium tersingkir pada saingan Piala Dunia Qatar 2022. - Foto EPA
A
A
A

MALANG nasib Belgium apabila jurulatihnya, Roberto Martinez melepaskan jawatan sejurus pasukannya terkeluar daripada perebutan Piala Dunia Qatar 2022 awal pagi Jumaat.

Tindakan drastik itu susulan keputusan seri tanpa jaringan Belgium dengan Croatia pada aksi terakhir Kumpulan F.

"Ini adalah perlawanan terakhir bersama pasukan, saya tidak boleh meneruskannya. Saya perlu menerima hakikat yang ini adalah perlawanan terakhir," katanya.

Martinez, 49, yang mengendalikan Belgium sejak 2016 dan membawa mereka ke separuh akhir Piala Dunia edisi lalu, bagaimanapun berkata, pasukannya akan tetap berasa bangga meninggalkan Qatar kali ini.

Pasukan di ranking kedua dunia itu mensia-siakan beberapa peluang keemasan menerusi Romelu Lukaku di babak kedua.

Sepanjang tiga perlawanan kumpulan di Qatar, Belgium hanya menjaringkan satu.

"Hari ini (Jumaat) kami bersedia. Kami mencipta peluang dan ia tiada penyesalan. Kami tersingkir tetapi kami boleh pulang dengan rasa bangga.

"Anda lihat Youri Tielemans dan pemain muda lain, generasi emas melakukan sesuatu yang membangunkan generasi seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Belgium mengakhiri saingan di tangga ketiga di belakang Croatia dan Maghribi yang muncul juara kumpulan selepas mengejutkan anak buah Martinez 2-0 dan menewaskan Kanada 2-1.

"Kami mahu mara tetapi saya pasti pasukan kebangsaan lain juga mahu mara dan itulah kejohanan.

"Dalam Piala Dunia sebelum ini kami menang tiga perlawanan peringkat kumpulan. Kami mahu mara hingga ke akhir," katanya.

Lukaku tidak cukup cergas untuk beraksi, selain Belgium terlalu berharap kepada bintang-bintangnya yang semakin berusia, tetapi gagal mempamerkan persembahan terbaik mereka.