Agong berangkat majlis santapan sambutan 100 tahun UPSI

Al-Sultan Abdullah (tengah) dan Tunku Azizah (tiga dari kanan) berkenan berangkat pada Majlis Santapan Seluhur Budi Sekalung Kasih sempena Kemuncak Sambutan 100 Tahun UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim pada Khamis. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (tengah) dan Tunku Azizah (tiga dari kanan) berkenan berangkat pada Majlis Santapan Seluhur Budi Sekalung Kasih sempena Kemuncak Sambutan 100 Tahun UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

TANJONG MALIM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Seluhur Budi Sekalung Kasih dan melancarkan setem serta syiling komemoratif 100 tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor UPSI, di sini malam Khamis.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada pukul 8.50 malam disambut oleh pihak pengurusan UPSI dan lebih 600 tetamu.

Setem komemoratif 100 tahun UPSI merupakan hasil kerjasama universiti itu dengan Pos Malaysia sementara syiling edisi khas itu merupakan kerjasamanya dengan Bank Negara Malaysia.

Setem edisi khas itu mempunyai seni reka bentuk tersendiri yang menampilkan ilustrasi Bangunan Suluh Budiman yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah sebagai monumen ikonik UPSI sementara syiling edisi khas bernilai RM1 dan RM10 mempunyai logo komemoratif 100 tahun UPSI dan logo UPSI.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga tiba pada pukul 8.50 malam.

Turut hadir Menteri Besar PerakDatuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Polis NegaraTan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Md Amin dalam sembah ucapannya turut menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak atas kesudian mencemar duli berangkat ke majlis itu.

Majlis itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-100 UPSI sejak penubuhannya pada tahun 1922 bermula sebagai Sultan Idris Training College (SITC) kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1957 dan Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) pada tahun 1987 sebelum dinaik taraf ke UPSI pada tahun 1997. - Bernama

Artikel Berkaitan: