50 rumah terjejas akibat banjir di Baling

Banjir tersebut tidak melibatkan pembukaan PPS di Baling. - Foto Ihsan APM Baling
Banjir tersebut tidak melibatkan pembukaan PPS di Baling. - Foto Ihsan APM Baling
A
A
A

BALING - Hujan lebat lebih dua jam menyebabkan 50 buah rumah di tujuh buah kampung di Kupang dekat sini termasuk Kampong Iboi dilanda banjir kilat, petang Khamis.

Bagaimanapun, keadaan tersebut tidak melibatkan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Leftenan (PA), Mohd Faizol Ab Aziz berkata, kejadian pada jam 6 petang itu susulan hujan lebat melebihi dua jam sehingga menyebabkan air sungai berdekatan melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal hampir dengan tebing sungai.

"Penduduk yang terjejas membabitkan lapan keluarga di Kampung Padang Empang, Kampung Iboi (lapan), Kampung Hangus (enam), Kampung Bok Bak (lima), Kampung Dusun (lapan), Kampung Charok Kapas (empat) dan 11 keluarga di Kampung Pak Bong," katanya dalam satu kenyataan, malam Khamis.

Mohd Faizol berkata, meskipun air telah surut namun paras sungai dalam keadaan berjaga-jaga yang memerlukan pemantauan pihaknya dari semasa ke semasa di lokasi.

Sementara itu, Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain, ketika dihubungi Bernama memaklumkan banjir itu merupakan kejadian kali ke-11 penduduk di kampung terbabit dan ia dilihat seakan tidak berkesudahan.

"Masalah yang sama masih berulang menyebabkan penduduk sudah letih dan trauma apabila kerap berlaku banjir... saya berharap sangat pihak berkenaan dapat melakukan sesuatu dengan secepat mungkin bagi membantu penduduk kampung.

"Pasir yang dilonggokkan di tepi tebing sungai juga banyak yang runtuh malah terdapat sisa-sisa balak hanyut dan tersangkut pada titi di Kampung Padang Empang yang mana esok kena minta bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk alihkan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: