Wanita didakwa terima deposit pelaburan RM82,000 tanpa lesen

Norsyazwany ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Norsyazwany ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang gadis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menjalankan skim pelaburan tanpa lesen sah dan menerima deposit sebanyak RM82,000.

Tertuduh, Norsyazwany A Rahim, 23, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, Norsyazwany didakwa menerima wang deposit sebanyak RM82,000 daripada seorang wanita berusia 27 tahun tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 857, Jalan Kampung Bukit Tempayan, Tangga Batu, Melaka antara 10 Jun 2022 hingga 10 Ogos lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 137 (2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, Mohd Nazrin mencadangkan tertuduh yang berasal dari Kupang Kedah diikat jamin RM50,000 susulan terlibat kes sama di beberapa negeri lain yang membabitkan nilai jutaan ringgit.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 29 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel Berkaitan: