Johor bentang Belanjawan 2023 dengan lebihan RM2.44 juta

Onn Hafiz (dua dari kiri) menunjukkan fail Belanjawan Johor 2023 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.
Onn Hafiz (dua dari kiri) menunjukkan fail Belanjawan Johor 2023 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor pada Khamis membentangkan belanjawan lebihan RM2.44 juta, selepas dua tahun berturut-turut merekodkan belanjawan defisit pada 2021 dan 2022.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Belanjawan Johor 2023 bertemakan 'Maju Johor, Makmur bersama Rakyat' menyaksikan jumlah hasil yang akan dikutip pada tahun depan dijangka sebanyak RM1.734 bilion.

"Hasil Johor dianggarkan sebanyak RM1.734 bilion dengan perbelanjaan pula adalah sebanyak RM1.731 bilion. Oleh itu, terdapat lebihan sebanyak RM2.44 juta.

"Anggaran hasil Johor bagi 2023 meningkat sebanyak 3.75 peratus, dibandingkan dengan anggaran hasil 2022, manakala perbelanjaan mengurus bagi tempoh yang sama dijangka menurun sebanyak 11.56 peratus.

"Prestasi anggaran pungutan hasil bagi 2023 turut meningkat RM66 juta berikutan hasil Johor pada 2022 hanya merekodkan pungutan sebanyak RM1.671 bilion," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor di Kota Iskandar di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap menjelaskan ekonomi Johor kembali rancak dalam era pasca pemulihan Covid-19.

Katanya, walaupun dihimpit dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi, Johor terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

"Pada hemat saya, kerancakan kemajuan ekonomi Johor ini disumbangkan oleh empat faktor utama, pertamanya adalah kedudukan politik Johor yang stabil.

Artikel Berkaitan:

"Keduanya, polisi mesra pelabur yang digagaskan bagi memastikan Johor kekal menjadi destinasi utama pilihan pelabur selain pembukaan semula sempadan antara Johor - Singapura mulai 1 April lalu.

"Seterusnya, penambahbaikan sistem penyampaian awam dan pembangunan modal insan turut menjadi faktor ekonomi Johor semakin rancak," katanya.