DUN Johor ucap tahniah kepada Anwar

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan ucapan tersebut pada Persidangan Keempat DUN Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini pada Khamis.

"Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10," katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu di Istana Negara, selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional 73 kerusi, Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Dalam pada itu, Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit turut mengucapkan tahniah kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Benut), menang kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU15.

Selain itu, ucapan tahniah turut diberikan kepada Ketua Pembangkang DUN Johor, Liew Chin Tong (PH-Perling) yang menang kerusi Parlimen Iskandar Puteri dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Simpang Jeram) memenangi Parlimen Pulai.

Artikel Berkaitan: