JDT mantapkan sistem kejurulatihan

Foto: Johor Southern Tigers
Foto: Johor Southern Tigers
A
A
A

JUARA sembilan kali berturut-turut Liga Super (JDT) menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023, mengumumkan perubahan sistem kejurulatihan apabila melantik Estaban Solari pengendali baharu Harimau Selatan mengambil alih tempat Hector Bidoglio.

Dalam pada itu, Bidoglio pula akan dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal JDT, menurut pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sementara menurutnya, Alistair Edwards pula diberi tanggungjawab lebih besar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif JDT.

"Secara peribadi saya sudah lama mengikutinya (Estaban Solari) secara dekat kerana sudah mengenalinya selama beberapa tahun dan kami sudah lama komunikasi.

"Beliau kini sekarang berada bersama skuad Bawah 23 tahun Argentina bersama Javier Mascherano, dan juga sudah ditawarkan ke River Plate, ditawarkan juga ke pasukan pembangunan Barcelona.

"Namun saya dapat yakinkan beliau untuk bersama-sama saya, bagi teruskan pembentukan dan projek bola sepak JDT. Dia adalah Estaban Solari, adik kepada Santiago Solari yang kini berada di Real Madrid.

“Jadi beliau akan ambil tanggungjawab sebagai ketua jurulatih kelab bola sepak JDT, dengan skuad utama. Itu adalah perubahan yang kami akan lakukan pada 2023,” katanya di laman rasmi Johor Southern Tigers (JST) pada Rabu.

Harimau Selatan melabuh tirai kempen Liga-M 2022 dengan mencipta sejarah tersendiri apabila menyapu bersih semua trofi liga domestik - Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Liga Super dan Piala Malaysia.

Artikel Berkaitan: