MCA perjelas dakwaan sokong PN

Mah Hang Soon
Mah Hang Soon
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin MCA tampil menjelaskan ‘kekeliruan’ berhubung dakwaan parti itu menyokong Perikatan Nasional (PN) selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon melalui hantaran di Facebook mendedahkan, pemimpin-pemimpin kanan BN memaklumkan supaya gabungan itu menyokong PN bagi membentuk kerajaan.

“Selepas berakhirnya PRU15, MCA telah dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam BN bahawa gabungan itu patut bersama PN bagi membentuk kerajaan berdasarkan keputusan yang dibuat sebelum PRU15 iaitu, 'No DAP, No Anwar'.

“Situasi sama turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS). Laporan berita juga banyak menyiarkan mengenai sokongan GPS kepada PN selepas mereka dimaklumkan bahawa BN bersetuju menyokong PN,” katanya pada Rabu.

Bagaimanapun ujar Hang Soon, Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang pertama kali diadakan selepas PRU15 memutuskan bahawa BN berkecuali dan kekal sebagai pembangkang.

Susulan itu jelas beliau, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga telah mencadangkan individu yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong mana-mana pihak perlu menarik semula sokongan mereka dengan serta-merta.

“Ekoran daripada itu, BN telah mengarahkan semua ahli Parlimen gabungan itu supaya segera menarik balik sebarang SD sokongan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan mendakwa PN mempunyai SD daripada MCA dan MIC bagi menyatakan sokongan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Artikel Berkaitan:

Pada 22 November lalu, Muhyiddin turut mendakwa telah menyerahkan SD daripada 115 ahli Parlimen membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti.