KL dilanda banjir kilat

Pusat info trafik itu turut berkongsi keadaan air bertakung dan banjir kilat di Jalan Parlimen
Pusat info trafik itu turut berkongsi keadaan air bertakung dan banjir kilat di Jalan Parlimen
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kejadian air bertakung dan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di ibu negara pada Rabu.

Menerusi perkongsian di twitter Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebentar tadi, kejadian tersebut berlaku berpunca daripada hujan lebat sejak awal petang ini.

Keadaan air bertakung dan banjir kilat di Lebuhraya Sultan Iskandar.
Keadaan air bertakung dan banjir kilat di Lebuhraya Sultan Iskandar.

Pusat info trafik itu turut berkongsi keadaan air bertakung dan banjir kilat yang mengakibatkan kelewatan di beberapa kawasan sekitar Pusat Bandaraya antaranya di Jalan Pudu dan Jalan Maarof.

Selain itu, kejadian juga berlaku di Jalan Damansara, Jalan Parlimen, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Kuching dan pihak KLCCC DBKL meminta semua pengguna jalan raya agar berhati-hati memandu berikutan keadaan jalan licin.

Sementara itu, Polis Kuala Lumpur menerusi laman Facebook memaklumkan, setakat jam 4.39 petang, lima lokasi dinaiki air iaitu Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, Lebuhraya Taman Connaught, Jalan Parlimen dan Jalan Ampang.

"Laluan kedua-dua arah di Jalan Parlimen telah ditutup, manakala laluan Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Istana Negara ke Wisma Tani turut ditutup dan dilencongkan ke arah susur Carcosa Seri Negara," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Kata kenyataan itu lagi, satu lorong di Jalan Travers, Lebuhraya Taman Connaught dan Jalan Ampang berhadapan bangunan Santa Grand turut ditutup.

"Keadaan masih terkawal dan kenderaan masih boleh melalui di Jalan Sri Permaisuri dan Jalan Maharajalela," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: