Pindah kambing tanpa kebenaran, penternak didenda RM5,000

Davamaran (kiri) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam pada Rabu. - Foto Bernama
Davamaran (kiri) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang penternak kambing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memindah 20 ekor kambing jantan hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang pada Oktober lepas.

S. Davamaran, 42, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Lelaki itu didakwa memindahkan 20 ekor kambing jantan hidup di Jalan Ara Kuda di sini dengan menggunakan kenderaan lori bernombor pendaftaran PJW2145, tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau mana-mana pihak berkuasa veterinar pada 21 Oktober lepas lebih kurang 6.30 petang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4 (1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 perintah bawah Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000.

Mohd Harith juga memerintahkan agar wang cagaran 20 ekor kambing bernilai RM6,000 dilucutkan hak kepada Jabatan Veterinar manakala lori akan dikembalikan selepas denda RM5,000 dibayar. Davamaran telah membayar denda berkenaan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Roziman Awang Tahrin manakala Davamaran tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan: