Lelaki cari kain rentang terkejut jumpa mayat dalam semak

Mayat mangsa dihantar ke hospital berhampiran bagi proses bedah siasat.
Mayat mangsa dihantar ke hospital berhampiran bagi proses bedah siasat.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang lelaki yang sedang mencari kain rentang berkaitan penjualan tanah terkejut apabila menemui mayat lelaki di kawasan semak di Lorong Cempaka Kampung Sungai Kajang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Toriman Marsaid, 66, menemui mayat lelaki itu dalam keadaan tertiarap.

Toriman berkata, dia berbasikal di kawasan berkenaan bagi mencari kain rentang berkaitan jualan tanah lot tetapi tidak menemuinya.

"Saya kemudian singgah ke kedai makan berhampiran sebelum berpatah balik ke tanah lot tersebut untuk mencari kain rentang terbabit," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Toriman, ketika leka mencari kain rentang, dia terlihat kain buruk di dalam semak.

"Saya ingatkan kain rentang (penjual tanah) buang di situ, saya terus tengok dan rupanya ada mayat di dalam semak.

"Saya mulanya nampak kaki dan kemudian keseluruhan badan mayat yang lengkap berpakaian," katanya.

Ujar Toriman, dia kemudiannya keluar dari semak dan terus menghubungi talian MERS 999 untuk tindakan segera.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan penemuan mayat tersebut.

Beliau memberitahu, siasatan lanjut akan dijalankan setelah selesai proses bedah siasat.

"Kita akan siasat dulu kes ini sama ada terlibat dalam kemalangan jalan raya atau kes jenayah lain.

"Siasatan awal mengenal pasti mayat ditemui itu seorang lelaki, namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti," katanya.