Hampir RM400 juta diperlukan atasi banjir di Padang Serai

Azman Nasrudin
Azman Nasrudin
A
A
A

KULIM - Sejumlah RM400 juta diperlukan bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan Parlimen Padang Serai, kata calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas berkata, anggaran itu dibuat oleh jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kulim yang telah merangka garis kerja projek tebatan banjir bagi keseluruhan kawasan itu.

Bagaimanapun katanya, anggaran peruntukan itu belum dibawa ke peringkat Persekutuan untuk kelulusan.

"Pihak JPS Kulim telah merangka garis kerja dan rancangan tebatan banjir. Ia memerlukan kos yang sangat besar. Bukan hanya banjir, tetapi tebing-tebing sungai yang runtuh di kawasan Lunas.

"Bila saya bawa perkara ini kepada JPS Kulim, sedikit demi sedikit mereka sudah mula baiki dengan buat tebing yang baharu. Banyak lagi perkara yang JPS Kulim sudah buat, tetapi untuk tebatan banjir itu kita memerlukan (projek) lagi,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Kampung Nesa di sini pada Selasa.

Sebagai ADUN Lunas selama dua penggal, Azman berkata, isu banjir kilat antara perkara yang sentiasa diutamakan beliau dan perkara itu akan turut dibawa di peringkat Parlimen Padang Serai sekiranya diberi mandat oleh masyarakat di situ.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Azman, Dr Mohamad Sofee Razak (Pakatan Harapan), Datuk C Sivaraj (Barisan Nasional), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember berikutan kematian calon PH M Karupaiya.

Artikel Berkaitan:

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober akan digunakan untuk pilihan raya itu; mengandungi 133,867 orang pemilih melibatkan 133,776 pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. - Bernama