Empangan hidroelektrik TNB bersedia hadapi musim tengkujuh

Skim empangan hidroelektrik TNB bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh tahun ini. (Gambar kecil: Nor Azman)
Skim empangan hidroelektrik TNB bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh tahun ini. (Gambar kecil: Nor Azman)
A
A
A

SHAH ALAM - Skim empangan hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu Skim Hidroelektrik Kenyir, Skim Hidroelektrik Sg Perak dan Skim Hidroelektrik Cameron Highlands bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh tahun ini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti berkata, paras air di ketiga-tiga skim empangan hidroelektrik tersebut telah diturunkan sejak bulan Julai sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut kali ini.

Persediaan yang dilakukan termasuk pengurusan paras air empangan melalui pelepasan terkawal dan pemeriksaan menyeluruh di stesen-stesen janakuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, dengan mengoptimumkan penggunaan air secara sasaran menarik ke bawah (draw-down), paras air tasik telah diturunkan secara terancang ke paras minima sebelum bermulanya musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilakukan.

"Pelan persediaan banjir secara menyeluruh telah dilaksanakan selaras dengan pendekatan syarikat mempertingkatkan komitmen dalam usaha berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memacu perjalanan peralihan tenaga bertanggungjawab," katanya.

Menurut Nor Azman, TNB Genco juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai ramalan kaji cuaca, taburan hujan sebenar dan menjalankan latihan pengungsian.

"Dan melaksanakan ujian tahap ketersediaan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," ujarnya.

Tegasnya, TNB Genco turut memberi jaminan kesemua empangan hidroelektrik milik syarikat utiliti itu berada dalam keadaan baik dan selamat.

Artikel Berkaitan: