Enggan ditemubual media, Mbappe berdepan hukuman FIFA

Mbappe enggan ditemubual media selepas dua aksi Perancis dalam saingan Kumpulan D, Piala Dunia Qatar 2022. - Foto EPA
Mbappe enggan ditemubual media selepas dua aksi Perancis dalam saingan Kumpulan D, Piala Dunia Qatar 2022. - Foto EPA
A
A
A

PEMAIN sensasi, Kylian Mbappe berdepan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila enggan ditemubual media selepas dua perlawanan berturut-turut dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia Qatar 2022.

Penyerang Paris Saint-Germain itu enggan berhenti dan bercakap dengan media di zon yang ditetapkan selepas perlawanan.

Ekoran tindakan tersebut, Mbappe serta Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) dijangka berdepan tindakan badan induk bola sepak dunia atau FIFA.

Mbappe menyumbat dua gol ketika membantu Perancis menewaskan Denmark 2-1 dan mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

Pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan dua gol pada babak kedua, manakala gol saguhati Denmark diperoleh menerusi jaringan Andreas Christensen.

Pada aksi itu Mbappe turut dijulang sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Mbappe turut menyerlah pada aksi pertama kumpulan apabila meledak satu gol ketika Perancis menang 4-1 ke atas Australia.

Ini bermakna dia sudah menjaringkan tiga gol di negara Asia Barat itu dan hanya satu gol lagi menghampiri jumlah jaringan pada Piala Dunia 2018.

Artikel Berkaitan:

Selepas kemenangan ke atas Denmark Ahad lalu, kapten Perancis Hugo Lloris bercakap kepada media.

Turut bercakap kepada media ialah rakan sepasukannya, Aurelien Tchouameni, Antoine Griezmann, Jules Kounde, Olivier Giroud, Dayot Upamecano dan Raphael Varane, namun Mbappe terus berjalan tanpa berhenti.

FFF diberi amaran ekoran tindakan Mbappe tidak hadir pada sesi temubual selepas kemenangan ke atas Australia.

Malah jika mengulangi perkara sama dia bakal berdepan tindakan.