'Tiada makna kabinet kecil tapi lantik dua, tiga TPM'

Tuan Ibrahim (tengah) bersalaman dengan penduduk di Pasir Tumboh, Kota Bharu pada Isnin.
Tuan Ibrahim (tengah) bersalaman dengan penduduk di Pasir Tumboh, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas beranggapan tiada beza saiz kabinet lebih kecil yang akan dibentuk oleh Kerajaan Perpaduan jika terdapat dua atau tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembaharuan dalam sistem pentadbiran berkait saiz kabinet tersebut adalah antara manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Tak ada makna kalau kabinet kecil, tetapi TPM sampai dua atau tiga.

“Kecil di bawah, besar di atas,” katanya ketika ditemui di Jamuan Kesyukuran anjuran Pas Kubang Kerian di pekarangan Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut katanya, gabungan Perikatan Nasional (PN) yang memenangi jumlah kerusi yang besar pada PRU15 akan bertindak memantau Kerajaan Perpaduan termasuk berkaitan pembentukan kabinet berkenaan.

“Kami akan bertindak sebagai check and balance pada kerajaan itu dan pantau semua perbelanjaan termasuk polisi dalam Parlimen.

“Insya-ALLAH, kami yakin dengan kepakaran dalam PN, kami mampu mengetengahkan polisi dan memberikan idea yang baik,” katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar mengumumkan beliau akan menyelesaikan pembentukan Jemaah Menteri kerajaan yang dipimpinnya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berpandangan kerajaan yang terbentuk di peringkat nasional antara PH dan Barisan Nasional (BN) itu bukanlah Kerajaan Perpaduan sebaliknya hanya sebuah kerajaan campuran.

“Konsep kerajaan perpaduan perlu ada semua parti. Harus menghormati parti-parti yang utama. Rakyat beri mandat kepada PN dengan Pas sahaja mendapat 49 kerusi tertinggi tetapi tiba-tiba yang rakyat kehendaki itu tidak berada dalam kerajaan.

“Saya fikir ini bukan Kerajaan Perpaduan, ini kerajaan campuran PH dan BN macam ABC, air batu campur,” katanya.